CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, November 10, 2008

Sekolah Ramadhan: 26 Ramadhan 1429Hijrah


Sekolah ini kian aku tinggalkan….sekolah ini…..bukunya adalah hati, tintanya adalah niat, sedang tubuh adalah tangan yang menarikan pena didada kalbu yang baru disucikan. Tahun ini aku mendapat teman baru…..namanya iktikaf. Bersama iktikaf, saban malam aku melihat insan-insan mendirikan saf yang panjang seumpama barisan mujtahid yang bersiaga untuk pergi berperang….setiap lafaz AllahuAkbar seumpama bekalan dan perisai untuk menentang soldadu syaitan pada 11 bulan yang akan datang. ‘Madrasah’ ini berdengung dengan ayat-ayat suci dari segenap penjuru, bunyinya seperti dengung keran dari dalam sarangnya yang sarat dengan madu iman yang sangat manis rasanya……tapi yang berkawan dengan ‘iktidur’ pun tak kurang ramainya…..mungkin kalah dengan kedinginan yang menggigit tulang sum-sum…..ketika 1/3 malam terakhir melabuhkan tirainya, kedinginan yang dirasai terkadang terasa sangat luarbiasa….mungkin kerana barakah rumah Allah. Suara esak-tangis imam itu sangat terkesan pada hatiku…..sampaikan aku juga ikut merasai sebaknya…..tapi kenapa airmataku tidak ikut menitis?….mungkinkah masih ada kekurangan pada imanku Wahai Tuhan…..sedu-sedan imam itu sangat jelas lewat setiap sujudnya, serasa perasaan insafku tergugah dari muzammil kelalaian….dan ia seperti tidak mahu tidur lagi.


Siangnya sekolah ramadhan masih berjalan, tidak seperti sekolah biasa yang ada cuti sabtu dan ahad…..sekolah ini dibuka 24jam sehari 7hari seminggu…..sayangnya hanya untuk sebulan. Tidak seperti sekolah biasa yang punya had umur dan sistem yang tertakluk pada undang-undang negara, sekolah ini ditawarkan tanpa mengira had umur, keturunan ataupun kewarganegaraan…..syaratnya hanyalah mesti muslim dan yurannya adalah segala rukun dan syarat sah yang perlu dipelihara sebermula terbit fajar sampai terbenam matahari. Dengan ini, semua orang mampu bersekolah kerana uang bukan soalnya….hanya keikhlasan….


Berbeza dengan sesi malam, sesi pagi dimulai dengan rutin harian biasa seperti pergi ke kulliyyah, ke tempat kerja, berniaga dan sebagainya. sukatan pelajaran sekolah ini mengutamakan praktikal daripada teori, kerana dari situlah markah diberikan. tidak banyak gerai makan dibuka kecuali mejelang waktu berbuka. sayangnya senario di siang hari ini tidaklah seindah di malam harinya…..ada pekedai yang kurang ajar kerana membuka gerai makan seawal jam 10 pagi…..dan pengunjungnya siapa lagi kalau bukan mereka yang ponteng sekolah! Terkadang kelihatan anak-anak muda, laki-laki dan perempuan berdua-duaan, berpimpinan tangan, bercanda di tepi-tepi jalan seperti suami isteri layaknya…..kemarin juga ada seorang pelajar memaki-maki seorang amil di KL Sentral dengan kata-kata kasar semata-mata kerana permintaannya tidak ditunaikan oleh amil itu, memang patut tidak dilayan…..sejak bila kadar bayaran zakat ada diskaun?…..berbagai gelagat dan kisah manusia berlaku sekelilingku, lalu aku membuat kesimpulan…..merekalah pelajar-pelajar nakal yang tidak lulus peperiksaan gara-gara markah yang dikutip hanya dahaga dan lapar.


Sekolah ini sudah hampir tiba di penghujungnya, kekhawatiran tidak dapat aku sembunyikan…..dapatkah aku mengunjunginya lagi tahun hadapan, dapatkah aku bertemu lagi dengan temanku yang bernama Iktikaf itu…..masihkah punya kesempatan bagi aku untuk mencari LailatulQadar…..semakin dekat dengan 30 ramadhan…..semakin hati ini berat untuk melepaskan ia pergi…..markah yang dikumpul masih belum cukup lagi…..’denda-denda’ masih banyak yang belum terhapus lagi…..untuk menjalani hukumannya, sangat tidak mampu aku hadapi…..bagaimana kalau esok lusa atau beberapa detik lagi aku dipanggil ‘Guru Besar’ dan tidak akan kembali lagi…. wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…..kalau ada walau setengah zarah keikhlasan dari ibadah yang aku lakukan untukMu…..berikanlah aku kesempatan untuk bertemu ramadhan sekali lagi kalau itu yang terbaik untukku…..wahai malaikat pengawas langit dan bumi….tolonglah doakan untuk diriku…..kerana inilah masanya doa-doa pasti akan tertunaikan…..walau dari manusia, malaikat, ataupun makhluk lainnya. Amin.

0 comments: